Antara soalan eksistensi manusia ialah sama ada wujud kehidupan lain di angkasa lepas selain di bumi. Ia menjadi sebab projek SETI dan teleskop radio Arecibo dibina berpuluh tahun yang lalu. Semalam sekumpulan saintis dari University of Cambridge mengumumkan penemuan kewujudan kehidupan di planet selain bumi.

Kelengkapan saintifik Teleskop Angkasa Lepas James Webb (JWST ) boleh menganalisa komposisi atmosfera sesebuah planet berdasarkan cahaya yang dipantulkan. Pada planet K2-18b, JWST mengesan kehadiran molekul dimetil sulfida (DMS) dan dimetil disulfida (DMDS). Di bumi kedua-dua gas ini dihasilkan oleh bakteria dan plankton memberikan bukti wujud kehidupan di K2-18b yang juga dipercayai mempunyai lautan.
Planet K2-18b adalah 2.5 kali ganda lebih besar dan terletak 124 tahun cahaya (~1178 trilion kilometer) dari bumi. Ini bermakna jika wujud kehidupan sekalipun, manusia tidak akan dapat pergi ke planet ini menggunakan teknologi sedia ada.
Walaupun DMS dan DMSS dikesan pada atmosfera K2-18b, saintis memerlukan masa dua tahun lagi untuk mengesahkan penemuan yang diumumkan semalam. Ini adalah kerana bacaan kedua yang lebih terperinci dan memastikan tiada ralat berlaku ketika bacaan diambil perlu disahkan oleh komuniti sains. Hanya selepas ini dilakukan, saintis boleh mengatakan kita bumi bukan satu-satunya planet yang mampu menampung kehidupan di alam semesta.