Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini telah memperkenalkan sekatan perdagangan terbaru keatas China, dimana baru-baru ini NVIDIA tidak lagi dibenarkan untuk menjual kad grafik NVIDIA H20 mereka yang dibina khusus untuk pasaran China ke syarikat-syarikat di negara tersebut.
Sekatan perdagangan terbaru yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan, tetapi untuk membolehkan syarikat-syarikat di seluruh dunia, khususnya China untuk mendapatkan komponen-komponen AI yang terbaru dan paling berkuasa, Malaysia nampaknya telah menjadi pilihan hab pengagihan serantau untuk sejumlah syarikat-syarikat pembangun teknologi perkakasan AI.

Menurut Taiwan International Trade Administration, ia telah dilaporkan bahawa jumlah eksport komponen dan perkakasan AI dari Taiwan ke Malaysia adalah berjumlah $1.873 trilion pada bulan Mac 2025 sahaja, iaitu peningkatan 366 peratus dari tahun-ke-tahun berbanding masa yang sama pada tahun lepas, yang berjumlah $401.92 juta sahaja.
Ia tidak dinafikan bahawa nama Malaysia sebagai hab perdagangan serantau dan juga antarabangsa, tetapi insiden semasa dimana Malaysia digunakan sebagai lokasi menyeludup kad-kad grafik AI NVIDIA ke syarikat-syarikat China yang dilarang juga memperlihatkan keperluan kerajaan untuk memastikan bahawa semua perdagangan yang berlaku tidak melanggar sebarang undang-undang antarabangsa yang telah dipersetujui.
Dengan larangan terbaru yang dikenakan keatas syarikat seperti NVIDIA yang dihalang daripada menjual kad-kad grafik AI NVIDIA H20 mereka ke syarikat-syarikat China, pengetahuan bahawa Malaysia adalah hab dagangan komponen AI ini berkemungkinan akan memakan diri jika tidak dikawalselia dengan baik.