Pihak kerajaan Amerika Syarikat sedia melakukan sejumlah halangan terhadap penawaran cip ke pasaran China – dengan sasaran akan memperlahankan pembangunan teknologi mereka. Namun, sebaliknya yang dilihat berlaku, dengan China lebih cepat membangunkan penawaran mereka tersendiri – sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada barat.
Terbaru, NVIDIA telah diarah untuk menghentikan penawaran cip NVIDIA H20 mereka ke pasaran China. Perkara ini membawa kepada kejatuhan nilai pasaran saham untuk NVIDIA, AMD dan juga Intel. Tidak setakat itu, pelbagai penganalisa industri kini menyasarkan Huawei bakal memfokuskan kepada pembangunan cip kecerdasan buatan, dan menerajui dalam arena tersebut bukan sahaja di China, tetapi pada peringkat global.

Sebelum ini sendiri, Huawei sedia menerajui arena infrastruktur telekomunikasi yang sebelum ini diterajui Nokia dan Ericsson, selain turut mengatasi pegangan pasaran Apple dalam arena telefon pintar. Namun, halangan dagangan oleh Amerika Syarikat telah memberikan sedikit kesan kepada perkembangan Huawei. Huawei sendiri tidak hilang begitu sahaja, tetapi telah melihat kepada alternatif dengan pembangunan sistem operasi sendiri, selain turut melabur dalam pembangunan cip dan lain-lain.
Ia kini turut diposisikan yang mana Huawei boleh menerajui arena semikonduktor memfokuskan kecerdasan buatan – apatah lagi dengan pelaburan China untuk pembangunan infrastruktur dan pusat data di pelbagai negara. Langkah halangan dagangan ini disasarkan akan mempercepatkan lagi perkembangan Huawei sendiri.
Dengan perkembangan dalam arena semikonduktor ini, sama-sama kita nantikan apakah langkah Huawei seterusnya, dan bagaimanakah mereka akan terus menerajui pasaran dengan bebaskan diri daripada teknologi barat sepenuhnya.