Carian
Siri CPU Intel Nova Lake-S Dijangka Akan Menggunakan Soket LGA-1954 Baru
April 21, 2025 Nazrin

Intel Nova Lake-S dijangka akan diumumkan oleh Intel pada pertengahan atau penghujung tahun ini, dimana mereka akan kembali mengilangkan cip-cip pemprosesan sendiri setelah dua generasi CPU sebelum ini menggunakan khidmat TSMC.

Siri cip pemprosesan sedia ada, Arrow Lake menggunakan papan induk siri Intel-800 yang menggunakan soket LGA-1851 yang hanya diperkenalkan pada penghujung tahun lepas. Terkini, terdapat maklumat yang mengatakan bahawa siri cip pemprosesan Nova Lake-S akan menggunakan soket baru yang lebih besar, iaitu LGA-1954.

Tangkapan layar ini diperlihatkan pada dokumen penghantaran barangan, yang memperlihatkan kod nama Nova Lake (NVL) dan juga nama soket baharu, iaitu LGA-1954. Ini butiran yang cukup baru, kerana kita sudahpun mengetahui bahawa cip pemprosesan ini sudah dihantar keluar untuk ujian awal.

Ia juga dilaporkan bahawa sebelum ini, ramai pengulas komponen telah bertanya sekiranya soket LGA-1851 masih akan disokong pada CPU-CPU akan datang, tetapi pihak Intel tidak menjawab pertanyaan tersebut. Dan kini, nampaknya kita sudah tahu jawapan Intel dengan butiran ini.

Sebagai perbandingan, AMD yang memperkenalkan papan induk dengan soket AM5 untuk siri cip pemprosesan AMD Ryzen 7000 pada tahun 2022mengesahkan bahawa mereka akan menggunakan siri papan induk tersebut sehingga sekurang-kurangnya 2027, dan mengatakan bahawa cip pemprosesan Zen 6, apabila ia dilancarkan kelak akan disokong pada papan induk AM5.

Komen