Nothing berkongsi maklumat menarik mengenai sistem kamera yang akan digunakan pada model terbaru CMF Phone 2 Pro. Menurut Nothing, peranti itu akan dilengkapi sistem tri-kamera di bahagian belakang. Ianya terdiri dengan kamera utama 50MP utama dengan sensor bersaiz 1/1.57”, kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 2X dan kamera ultra-lebar 8MP dengan sudut pandang 119.5 darjah.

Jika konfigurasi kamera ini kelihatan biasa, ia sebenarnya tetapan yang sama digunakan Nothing menerusi Phone 3 (a) mereka sebelum ini. Selain itu, CMF Phone 2 Pro juga menjadi telefon pertama sub-jenama itu yang dilengkapi dengan sistem tri-kamera utama. Panel belakang masih boleh digantikan namun bonggol kamera telah direka semula bagi menampakkannya lebih moden.

CMF Phone 2 Pro dijangka hadir dengan paparan 6.7 inci serta kadar segar semula 120 Hz. Ia juga berkemungkinan dilengkapi bateri 5,000mAh, dan disertakan pengecas 25W di dalam kotak. Butiran penuh hanya diketahui pada 28 April 2025.