Carian
Meta Mula Menggunakan AI Untuk Mengesan Remaja Yang Berbohong Usia Sebenar
April 22, 2025 Effi Saharudin

Semasa muda remaja, kita semua ingin kelihatan lebih tua dan matang lebih-lebih lagi di atas talian. Kini apabila sudah berusia dan sakit pinggang, ramai pula ingin kelihatan muda dengan penapis wajah digunakan di media sosial. Hakikatnya ramai tidak selesa dengan usia diri sendiri. Di Meta, mereka cuba membanteras isu pengguna bawah umur yang berbohong mengenai usia sebenar menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Ciri menggunakan AI ini sudah diuji sebelum ini dalam jumlah yang kecil tetapi kini akhirnya diaktifkan bagi memastikan keselamatan pengguna remaja. Berdasarkan tabiat penggunaan dan kandungan yang dimuat naik, Meta boleh mengagak sama ada pengguna ialah remaja ataupun dewasa.

Jika pembohongan usia dikesan, akaun secara automatik akan diubah ke Meta Teen Account yang menghadkan interaksi dengan orang tidak dikenali, dihubungi orang dewasa dan tidak dibenarkan melakukan penstriman langsung.

Meta mengatakan ciri ini diaktifkan kerana menyedari tidak semua ibu bapa dan penjaga memantau aktiviti media sosial anak di bawah jagaan mereka. Kerana AI digunakan, kesilapan mungkin berlaku. Jika akaun pengguna dewasa dilabel sebagai remaja, pengguna boleh melakukan permohonan untuk ia diubah semula.

Komen