Infinix Note 50S Dan Note 50X Turut Rasmi Di Malaysia – Harga Bermula RM699
Amy Maizuraa
Siri Infinix Note50 yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia sebenarnya turut hadir dengan dua model lain. Salah satu daripadanya adalah Infinix Note 50S 5G yang menampilkan ciri unik Energising Scent-Tech Aromatic Leather. Ciri ini membolehkan panel belakang peranti mengeluarkan aroma bauan menyegarkan. Namun, ciri ini hanya tersedia pada model warna Marine Drift Blue dengan kemasan kulit palsu.

Untuk spesifikasi, Note 50S dilengkapi dengan skrin AMOLED 6.78-inci FHD+ dengan kadar segar semula 144H. Ini digabungkan cip MediaTek Dimensity 7300 Ultimate bersama sokongan 5G terbina, di samping pilihan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Ia turut menampilkan kamera utama 64MP, kamera swafoto 13MP, bateri 5200mAh, dan penarafan kalis air IP64.

Melengkapi siri berkenaan adalah Infinix Note 50X. Ia menawarkan skrin LCD HD+ 6.67-inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 560 nits. Ia juga dijana dengan cip MediaTek Dimensity 7300 Ultimate, bersama memori 8GB RAM dan storan 256GB. Ia juga mempunyai panel belakang peranti mengeluarkan aroma bauan menyegarkan melalui versi Sea Breeze Green. Selain itu, ia mempunyai kamera utama 50MP, kamera swafoto 13MP, bateri 5200mAh, dan penarafan kalis air IP64.

Harga jualan rasmi di Malaysia bermula RM699 untuk Note 50X 5G, dan RM899 untuk Note 50s 5G. Ia boleh didapati melalui semua pengedar sah Infinix di seluruh Malaysia, dengan hadiah menarik turut disediakan untuk masa terhad.