Jabatan Keadilan Amerika Meminta Google Menjual Chrome
Effi Saharudin
Selepas didapati bersalah menjalankan perniagaan carian secara monopoli tahun lalu di Amerika Syarikat, perbicaraan baharu kini berlangsung mengenai apakah langkah yang perlu diambil. Dalam pembukaan kes, wakil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) meminta mahkamah mengeluarkan arahan supaya Google menjual Chrome.

Ini ialah selari dengan permintaan asal DOJ yang ingin Chrome dijual kerana ia digunakan oleh Google untuk mendominasi pasaran enjin carian. Pada waktu ini DOJ tidak pula meminta supaya Android juga turut dijual seperti yang dijangka ramai penganalisa. Peguam Google pula berkata permintaan DOJ adalah terlalu ekstrem.
Dalam kenyataan rasmi yang diterbitkan, Google mengatakan arahan menjual Chrome ini akan “membahayakan ekonomi dan kepimpinan teknologi Amerika”. Google juga berkata ia akan menyebabkan mereka perlu berkongsi maklumat peribadi pengguna dengan syarikat pihak ketiga yang menjejaskan privasi.
Permintaan DOJ untuk menjual Chrome dan Android juga akan menyebabkan kerentanan sekuriti berlaku kerana ia memisahkan infrastruktur operasi sekuriti yang digunakan sekarang.
Selain didapati bersalah mengamalkan perniagaan carian secara monopoli, Google juga baru didapati bersalah melakukan amalan yang sama dalam perniagaan teknologi pengiklanan.