Carian
Google Didapati Bersalah Mengamalkan Monopoli Perniagaan Carian
August 6, 2024 Effi Saharudin

Mahkamah persekutuan di Amerika Syarikat hari ini mendapati Google mengamalkan monopoli perniagaan dalam carian dan juga pengiklanan enjin carian di Amerika Syarikat. Mereka telah melanggar Akta Sherman yang mengalang syarikat daripada melakukan perniagaan secara monopoli di dalam negara.

Sebagai contoh pada tahun 2009 Google Search memegang 80% penggunaan enjin carian dan meningkat ke 90% pada tahun 2020. Google diheret ke mahkamah oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) kerana didakwa memonopoli perniagaan enjin carian.

Google Logo

Hakim mahkamah turut mengatakan kerana monopoli yang besar oleh Google, syarikat lain tidak boleh menawarkan alternatif lain. Apple misalnya dibayar $20 bilion pada tahun 2022 untuk mengekalkan Search di Safari kerana membangunkan enjin carian alternatif tidak menguntungkan berbanding bayaran yang diterima.

Apa yang akan dilakukan seterusnya oleh DOJ selepas keputusan mahkamah menyebelahi mereka masih belum diketahui saat ini. Google telahpun mengeluarkan kenyataan akan mengenakan rayuan. Besar kemungkinan mereka perlu memberikan pilihan kepada pengguna untuk menukar enjin carian lalai pada peranti seperti yang telah dilakukan di Eropah selepas Kesatuan Eropah mendapati Google memonopoli enjin carian di benua tersebut.

Keputusan mahkamah hari ini adalah sama seperti yang berlaku ke atas Microsoft yang turut didapati bersalah melakukan memonopoli apabila memberikan Internet Explorer dengan setiap perisian Windows bagi menghalang pesaing mereka seperti Netscape.

Komen