Seperti yang sedia maklum, kerajaan Amerika Syarikat telah memperkenalkan kenaikan tarif yang agak mendadak untuk kebanyakan negara di seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Untuk negara kita, syarikat-syarikat yang mengimport produk dari Malaysia ke Amerika Syarikat memperlihatkan kenaikan tarif sebanyak 24 peratus untuk semua produk yang dieksport ke pasaran tersebut dari negara ini.
Baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengatakan bahawa syarikat-syarikat Amerika Syarikat seperti Intel dan Oracle telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang peningkatan tarif tersebut.
Melalui video tersebut, Tengku Zafrul mengatakan bahawa Intel khususnya telah berbincang tentang kesukaran tentang yang dihadapi mereka, khususnya berkenaan kilang mereka di Pulau Pinang, dan bagaimana ia cukup penting untuk memastikan rantaian bekalan cip pemprosesan mereka tidak melambung dari segi harga, khususnya apabila ia ia dieksport ke Amerika Syarikat untuk disiapkan.

Sebagai konteks, sebahagian daripada pemasangan cip pemprosesan Intel dilakukan di kilang mereka di Pulau Pinang, dan akan dihantar ke Amerika Syarikat untuk proses pempakejan akhir sebelum ia dijual.
Untuk Oracle pula, mereka bukan sahaja beroperasi di Malaysia, tetapi juga telah melaburkan berbilion-bilion Ringgit untuk membangunkan pusat data serantau di Malaysia, selain penawaran lebih 150 perkhidmatan dan infrastruktur SaaS. Oracle turut mengatakan perkhidmatan mereka kelak akan membolehkan pelbagai organisasi di Malaysia memodenkan aplikasi masing-masing, selain melakukan pelbagai inovasi menggunakan data dan kecerdasan buatan.
Beliau juga mengatakan kerajaan Malaysia sedang berbincang dengan syarikat-syarikat Amerika yang lain melalui America-Malaysia Chamber of Commerce dan juga US-ASEAN Chamber of Commerce.