YouTube hari ini berkongsi perkembangan mereka bersempena dengan ulang-tahun yang ke-20, dengan sejumlah statistik menarik. Menurut YouTube, perkhidmatan yang dimulakan dengan klip 19 saat suatu ketika dahulu, kini mengehos lebih 20 trilion video pada platform berkenaan. Ini adalah termasuk video muzik, Shorts, podsiar dan sebagainya.
Tidak setakat itu, kini secara purata lebih 20 juta video dimuat-naik ke YouTube setiap hari, dan secara purata 100 juta komen ditinggalkan pada video-video di YouTube setiap hari.
YouTube juga kini telah mempelbagaikan lagi pelbagai penawaran mereka, malah telah melancarkan YouTube Shopping secara rasminya di Malaysia semalam. Fokus juga turut diberikan oleh YouTube pada penawaran lain seperti YouTube TV dan juga YouTube Kids. Sama-sama kita nantikan apakah lagi dirancang oleh YouTube bergerak ke hadapan dalam memastikan mereka terus menjadi destinasi utama untuk video dan penstriman.