Carian
Cubaan Awal Kami Menggunakan Aplikasi Edits Daripada Meta
April 24, 2025 Amy Maizuraa

Meta telah melancarkan aplikasi baharu dikenali sebagai Edits yang direka untuk bantu memudahkan pengguna membuat suntingan, serta menghasilkan kandungan video. Dalam erti kata lain, aplikasi ini merupakan jawapan Meta kepada CapCut. Berdasarkan cubaan awal, aplikasi menawarkan pelbagai ciri menarik yang dirasakan mampu memenuhi keperluan pengguna masa kini. Berikut adalah artikel cubaan awal kami menggunakan aplikasi ini.

Cubaan awal kami mendapati Edits menyediakan alat suntingan video yang mudah dan menarik untuk pengguna biasa. Aplikasi Edits memberikan pengalaman suntingan video secara mudah. Antaramuka pengguna (UI) ini direka dengan kemas, ringkas dan mesra pengguna menyerupai apa yang ditawarkan oleh Instagram.

Pendekatan ini semestinya memudahkan pengguna baharu untuk memahami dan menggunakan aplikasi ini tanpa perlu banyak belajar kerana cirinya sendiri sudah biasa dengan pengguna Instagram. Dengan antaramuka yang teratur juga membolehkan pengguna mengakses pelbagai fungsi dan ciri dengan pantas serta mudah.

Salah satu ciri utama yang ditawarkan dalam aplikasi ini adalah Effects. Edits menyediakan sehingga 11 jenis efek bagi tujuan mencantikkan lagi video yang dihasilkan. Meskipun jumlah tersebut mungkin agak terhad berbanding aplikasi CapCut namun efek yang disediakan adalah memadai untuk menghasilkan sebuah video yang kreatif dan menarik. Bahagian penuras juga dilihat menyerupai bahagian penuras di Instagram yang membenarkan pengguna mengubah gaya video mengikut tema yang dinginkan.

Fungsi Text dalam Edits juga dilihat menarik. Pengguna boleh memilih daripada pelbagai kategori font seperti Simple, Bold, Retro, Playful, dan Handwriting bagi tujuan mengekspresikan kreativiti masing-masing. Selain itu, aplikasi ini turut menawarkan efek animasi teks yang lebih menarik berbanding pilihan yang ditawarkan pada Insta Stories. Keupayaan ini menjadikan teks dalam video lebih menyerlah sekali gus mampu menghasilkan video yang estetik.  

Ciri lain yang disediakan adalah Transition yang boleh membantu pengguna menggabungkan babak-babak dalam video dengan lancar. Walaupun pilihan transisi ini agak terhad berbanding aplikasi CapCut tetapi ia masih dirasakan mampu untuk memenuhi keperluan pengguna dalam menghasilkan video yang kemas.

Aplikasi Edits juga menawarkan fungsi Cutouts yang dikuasai teknologi Meta AI. Fungsi ini dapat mengesan subjek dalam video secara automatik dan memotongnya dengan baik. Ia juga mirip dengan fungsi Create Sticker yang ditawarkan pada Insta Stories, namun bezanya berfungsi untuk format video. Hasilnya, pengguna boleh memberikan tumpuan khusus kepada subjek tertentu dalam video mereka.

Meskipun Edits menawarkan pelbagai ciri menarik, ia masih mempunyai kekurangan seperti tiadanya fungsi Keyframe buat masa ini. Fungsi berkenaan amat berguna kerana ia membolehkan kawalan yang lebih terperinci semasa menyunting animasi atau elemen dalam video. Ia bagaimanapun bukanlah satu isu yang besar malahan pengguna biasa kebanyakannya hanya membuat suntingan asas. Meta turut memaklumkan bahawa ciri Keyframe berkenaan akan tiba dalam kemaskini akan datang tanpa berkongsi tempoh masa khusus.

Selain daripada suntingan video, Edits mempunyai ruangan pengurusan video bagi memudahkan pengguna menguruskan kandungan yang disimpan. Melaluinya, pengguna boleh menyusun video mengikut folder tertentu, dan menjadikan proses carian serta pengurusan menjadi lebih tersusun. Edits turut menyediakan tab khas untuk menonton videos reels, di samping pengguna boleh memilih tab Inspiration untuk mendapatkan lebih idea kreatif daripada video disiarkan. Terdapatnya tab Following untuk menonton video daripada akaun yang diikuti namun pengguna hanya boleh menyimpan tanpa kebolehan memberi komen atau tanda suka (like).

Edits turut membolehkan pengguna merakam dan mengeksport video dengan resolusi sehingga 4K. Dalam masa sama, mereka boleh menyesuaikan tetapan kamera seperti kadar bingkai, dan julat dinamik untuk hasil lebih berkualiti tinggi. Lebih menarik apabila pengguna turut boleh berkongsi video yang telah disunting tanpa tera air (watermark), dan terus ke platform media social yang disokong seperti Instagram dan Facebook.

Cubaan dan tutorial ini telah disediakan oleh pasukan videografi kami, Zamir Roslan dengan sokongan penyediaan teks tambahan oleh Amy Maizuraa.

Komen