Carian
Google Chrome Dianggar Bernilai Lebih $50 Bilion Sekiranya Perlu Dijual
April 25, 2025 Aman

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kini dalam proses melakukan perbicaraan melibatkan Google dan adakah ia memonopoli pasaran dengan pelbagai produk. Salah satu produk yang disasarkan untuk diasingkan adalah Google Chrome.

Menyentuh mengenainya, beberapa pihak seperti OpenAI, Perplexity dan juga Yahoo sedia menyatakan hasrat keterbukaan untuk membeli pelayar web berkenaan sekiranya ia terpaksa dijual. Pada masa yang sama, menyentuh mengenai harganya, DuckDuckGo mengatakan Google Chrome mungkin bernilai melangkaui $50 bilion – yang mungkin membuatkan mereka tidak boleh membelinya.

Chrome pada hari ini sedia menjadi pelayar web utama yang digunakan ramai di seluruh dunia. Ini sekaligus membolehkan Google menyertakan enjin carian mereka sebagai enjin carian utama, dan terus mengekalkan kedudukan di pasaran. Selain itu, ramai turut mengatakan Google menghimpunkan data pelayaran melalui pelayar web tersebut untuk menyasarkan pengiklanan lebih baik kepada pengguna.

Ini sendiri dijangka memberikan kesan yang sangat positif kepada Google, dan mungkin ia bernilai lebih tinggi daripada $50 bilion.

Buat masa ini, ia belum diarahkan untuk menjualnya, dan proses perbicaraan masih dalam proses. Tidak mustahil, sekiranya dipaksa menjual, Google akan membuat rayuan dan membawa kes untuk perbicaraan lanjut.

Komen