CMF telah melancarkan siri fon telinga nirwayar terbaru mereka iaitu Buds 2a, Buds 2 dan Buds 2 Plus. Setiap model menyasarkan pengguna yang berbeza dengan ciri yang pelbagai. CMF Buds 2a adalah model permulaan dengan reka bentuk ringan, 42dB Active Noise Cancellation (ANC), pemacu audio bio-fiber 12.4mm, dan prestasi bass yang dipertingkatkan.

Ia dilengkapi dengan 4 mikrofon HD, Clear Voice Technology, dan Wind Noise Reduction 2.0 untuk panggilan yang lebih jelas. Hayat bateri pula boleh mencapai 35.5 jam tanpa ANC dan sehingga 23 jam dengan ANC aktif. Buds ini mempunyai penarafan IP54 untuk kalis habuk dan air serta menyokong Bluetooth 5.4 dengan sambungan dwi peranti.

CMF Buds 2 pula adalah model pertengahan dengan pemacu audio dinamik 11mm dan bahan diafragma PMI dan PU. Ia mempunyai audio Dirac Opteo, Spatial Audio Effect, serta Ultra Bass Technology. Selain itu, ia menawarkan sehingga 48dB ANC hibrid dan dilengkapi dengan 6 mikrofon HD, Clear Voice Technology 3.0, serta Wind Noise Reduction 3.0. Bateri digunakan boleh bertahan hingga 55 jam tanpa ANC dan 32 jam dengan ANC. Ia juga menyokong ANC adaptif, mod telus, kawalan sentuhan dan penarafan IP55.

CMF Buds 2 Plus adalah model paling premium. Ia menyokong codec audio Hi-Res LDAC, pemandu audio 12mm dengan diafragma LCP dan PU, Personal Sound Profile, Ultra Bass Technology 2.0, serta Spatial Audio Effect. Ia juga menawarkan sehingga 50dB ANC hibrid dan dilengkapi 6 mikrofon HD, Clear Voice Technology 3.0, dan Wind Noise Reduction 3.0. Bateri disediakan boleh bertahan sehingga 61.5 jam tanpa ANC dan 33 jam dengan ANC. Ciri lain termasuk mod latensi rendah, ciri pengesanan dalam telinga, dan pengecasan pantas.

Ketiga-tiga model ini menyokong Bluetooth 5.4, sambungan dwi peranti, Google Fast Pair, Microsoft Swift Pair, serta kawalan sentuhan. Pengguna juga boleh menyesuaikan tetapan melalui aplikasi Nothing X, termasuk integrasi dengan ChatGPT untuk arahan suara. Namun, tidak seperti siri Buds Pro, model-model ini tidak mempunyai kawalan Smart Dial pada pod pengecas.
Buds 2 tersedia dalam warna Kelabu, Hijau dan Oren dengan harga RM199. Buds 2a tersedia dalam warna Kelabu Gelap, Kelabu, dan Oren dengan harga RM159. Manakala, Buds 2 Plus tersedia dalam warna Biru dan Kelabu, secara eksklusif dalam talian, dengan harga RM229.
Selain itu, CMF turut melancarkan Phone 2 Pro iaitu peranti pertengahan baharu dengan rekaan modular dan panel belakang tertutup untuk ketahanan air yang lebih baik. Ia menggunakan cip Dimensity 7300 Pro, memori 8GB RAM, storan 256GB, serta skrin AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz.