Burung kakak tua, hinggap di jendela. Nenek sudah tua, giginya tinggal dua. Lagu rakyat ini dinyanyikan jutaan rakyat Malaysia selama bergenerasi dan ia adalah realiti kehidupan apabila usia semakin meningkat. Gigi di dalam mulut tidak kekal selama-lamanya dan seawal 700 sebelum Masihi gigi palsu telah digunakan sebagai ganti. Tetapi penyelidik di King’s College London dan Imperial College mengumumkan kejayaan menumbuhkan gigi manusia di dalam makmal.

Sel gigi manusia diberikan arahan untuk membentuk gigi di dalam makmal. Beberapa percubaan sebelum ini gagal apabila arahan diberikan serentak. Sebuah bahan khas telah dibangunkan dengan ia memberitahu sel untuk menghasilkan gigi secara berperingkat sama seperti yang berlaku di dalam tubuh manusia sebenar.
Walaupun gigi berjaya dihasilkan, saintis masih meneruskan kajian bagaimana ia boleh dijadikan implan dalam mulut manusia. Cara pertama ialah menanam sel terus ke dalam rahang yang kemudiannya tumbuh sebagai gigi baharu dan cara kedua pula ialah ia menanam gigi yang lengkap terus ke dalam mulut penerima.
Selain teknologi ini, saintis di Jepun juga berjaya menumbuhkan semula gigi tetapi hanya pada tikus. Ujian klinikal ke atas manusia akan dimulakan menjelang penghujung tahun ini. Mungkin dalam masa satu generasi lagi, nenek gigi tinggal dua akan hanya menjadi lirik lagu rakyat kerana gigi yang lengkap menjadi norma baharu.