Apple mengumumkan laporan kewangan terkini mereka semalam dengan pendapatan meningkat sebanyak 5%. Sungguhpun begitu untuk suku seterusnya, tarif dijangka meningkatkan kos sehingga $900 juta (~RM 3.88 bilion). Antara langkah yang akan diambil Apple menurut Tim Cook ialah separuh iPhone untuk pasaran Amerika Syarikat akan diimport dari India. Tetapi kerana permintaan iPhone yang tinggi untuk pasaran Amerika Syarikat, separuh lagi inventori masih perlu diimport dari China.

Untuk produk lain, kesemua akan diimport dari Vietnam. Pada waktu ini kenaikan harga belum lagi diumumkan tetapi ia mungkin akan berlaku dalam masa beberapa bulan sahaja lagi sekiranya pentadbiran Trump tidak menarik semula kadar tarif tinggi yang diumumkan awal April lalu.
Sony dan Microsoft misalnya mula menaikkan harga konsol kerana impak tarif sudah mula dirasia. Walaupun Amerika Syarikat yang mengenakan tarif tinggi, impak peningkatan kos akan dirasai oleh semua.