Carian
Harga Konsol, Aksesori dan Permainan Xbox Dinaikkan Di Seluruh Dunia
May 2, 2025 Effi Saharudin

Adakah Tarif Trump hanya akan mendatangkan kesan kepada pengguna Amerika Syarikat? Jawapannya tentu sekali tidak. Semalam Microsoft mengumumkan kenaikan harga konsol Series X/S, aksesori, dan juga permainan Xbox di seluruh dunia secara serta merta. Langkah ini diambil hanya beberapa minggu selepas Sony menaikkan harga konsol PlayStation 5 di tiga pasaran.

Ini ialah kali pertama harga jualan konsol dan aksesori Xbox dinaikkan oleh Microsoft sejak ia dilancarkan lima tahun lalu. Harga jualan permainan misalnya kini bermula $80 berbanding $70 sebelum ini. Walaupun harga konsol dan aksesori dinaikkan di seluruh dunia, kenaikan tertinggi ialah untuk pasaran Amerika Syarikat.

Sebagai contoh harga Xbox Series X di Amerika naik $100 ke $600 sebuah sedangkan di UK ia hanya £50 ke £300 (~$5330) sebuah. Kesemua kenaikan ini berkait dengan tarif tinggi dikenakan Amerika Syarikat ke atas semua negara rakan dagang mereka. Dengan cip Xbox dibuat di Malaysia yang dikenakan tarif 24% dan konsol pula dipasang di China dengan tarif sehingga 245%, kenaikan harga produk tidak dapat dielakkan. Dengan menaikkan harga jualan produk ke semua pasaran, Microsoft dapat mengelakkan harga dinaikkan lebih dua kali ganda hanya di Amerika.

Komen