Implan Neuralink Membantu Pesakit Untuk Menyunting Video Dan Bercakap Semula Melalui Minda
Nazrin
Sebelum ini kami telah melaporkan tentang dua pesakit yang telah menggunakan implan Neuralink untuk membantu diri mereka mendapatkan kembali sebahagian daripada hidup mereka, dimana mereka boleh bermain permainan catur dan permainan komputer menggunakan otak sahaja.
Terkini, implan BCI (Brain Computer Interface) Neuralink telah berjaya dipasangkan kepada otak pesakit ketiga, yang menghidapi penyakit ALS (Amyotrophic Lateral Sclero) bernama Bradford Smith yang menyebabkan beliau bukan sahaja lumpuh, tetapi kehilangan kebolehan untuk bertutur.

Penghidap ALS masih lagi mengekalkan pelbagai fungsi otak lain, dan oleh kerana ini, Bradford Smith dipilih untuk menerima implan Neuralink, dan kini, telah berjaya melakukan beberapa aktiviti yang sebelum ini dianggap mustahil kerana ALS.
Pertama, beliau kini boleh bercakap semula dengan bantuan kecerdasan buatan. Rakaman suaranya telah berjaya diproses menggunakan teknologi AI melalui banyak video-videonya sebelum beliau menghidap ALS, dan kini digunakan untuk bertutur dengan lancar melalui input yang dijana oleh otaknya melalui implan Neuralink.
Bukan itu sahaja, Bradford Smith juga telah berjaya menyunting dan memuat-naik sebuah video yang turut hadir dengan penggunaan “suara AI” beliau, menggunakan otak dan implan Neuralink sahaja. Video tersebut menceritakan bagaimana Neuralink telah membantunya dalam kehidupan hariannya.
Secara ringkas, Neuralink boleh disambungkan kepada sebuah komputer riba menggunakan sambungan Bluetooth, yang kemudiannya membolehkan Smith untuk mengawal input pada komputer ribanya menggunakan fikiran sahaja. Pergerakan tetikus pada skrin komputer riba pula adalah berdasarkan pergerakan lidah, yang dilaporkan adalah lebih mudah untuk dilakukan berbanding dengan pergerakan jari untuknya.
[sumber]Tom’s Hardware[/sumber]