Carian
DJI Dilaporkan Sedang Membangunkan Kamera Aksi Dengan Kebolehan Rakaman 360 Darjah
May 5, 2025 • Amy Maizuraa

DJI dikatakan sedang membangunkan kamera aksi 360 darjah yang berkemungkinan dikenali sebagai Osmo 360. Ini dijangka menjadi cubaan pertama DJI dalam menawarkan kamera aksi berkeupayaan 360 darjah, di mana merupakan segmen yang kini didominasi oleh Insta360 dan GoPro. Imej tertiris memperlihatkan reka bentuk kamera ini buat pertama kali, yang menyerupai GoPro Max (2025) serta menggabungkan beberapa elemen daripada Osmo Action 5 Pro.

Walaupun spesifikasi rasmi belum didedahkan sepenuhnya, maklumat tertiris memberi gambaran tentang ciri yang mungkin ditawarkan. Kamera ini berkemungkinan menyokong rakaman video 8K pada kadar 30 bingkai sesaat (FPS), yang boleh menjadi peningkatan ketara dalam segmen kamera 360 darjah yang sedia ada.

Ia juga dikatakan boleh merakam video gerak perlahan 4K pada kadar 120 bingkai sesaat bagi membolehkan setiap rakaman kelihatan lebih lancar. Selain itu, DJI dilaporkan menyediakan sensor bersaiz besar untuk menarik perhatian jurugambar profesional, di samping memberi tumpuan kepada hayat bateri yang lebih panjang bagi kegunaan penggambaran di luar.

Osmo 360 turut dijangka hadir dengan ketahanan kanta lebih baik serta kebolehan suntingan semula khususnya bingkai secara automatik yang menjadi ciri penting dalam rakaman 360 darjah. DJI turut akan memberi keutamaan kepada prestasi tangkapan dalam keadaan pencahayaan rendah bagi menghasilkan imej yang lebih jelas. Selain itu, aplikasi DJI Mimo juga akan menerima naik taraf bagi memastikan Osmo 360 menjadi pilihan yang lebih menarik dalam kalangan pesaingnya.

Komen