Siri Gears of War dilancarkan pada tahun 2006 dengan ditawarkan secara eksklusif di PC dan Xbox 360. Kerana perang konsol antara Sony dan Microsoft, pemilik PlayStation hanya boleh melihat sahaja permainan yang popular ini pada konsol Xbox. Tetapi landskap permainan video di tahun 2025 sudah banyak berbeza. Permainan yang dahulunya eksklusif di Xbox kini mula tiba ke PlayStation. Hari ini permainan Gears of War Reloaded disahkan akan tiba ke PlayStation 5 pada 26 Ogos.
Gears of War Reloaded ialah olahan semua permainan Gears of War asal tahun 2006 dengan peningkatan kualiti grafik, sokongan resolusi 4K dan kadar bingkai sehingga 120 FPS. Selain PS5, permainan ini juga akan dilancarkan pada konsol Xbox Series S/X dan PC.
Strategi Microsoft ialah tidak lagi menawarkan permainan secara eksklusif pada platform milik mereka. Tahun lalu melihat Hi-Fi Rush, Sea of Thieves dan Pentiment hadir ke PS5. Tahun ini Forza Horizon 5, Indiana Jones and the Great Circle dan Doom: The Dark Ages juga turut disahkan.