Pencahayaan dalam gambar adalah penting bagi menghasilkan karya yang kelihatan menarik. Tetapi tidak ramai mempunyai sistem lampu profesional untuk memberikan pencahayaan seperti di studio profesional. Serentak dengan pelancaran Surface Pro dan Surface Laptop 13″ baharu semalam, Microsoft mengumumkan kemas kini pada Photos, Paint and Snipping yang diperkasakan oleh kecerdasan buatan (AI), Dalam Photos, pengguna kini boleh menyunting sumber cahaya di dalam gambar.
Ciri Relight dalam Photos bukan sahaja boleh menambah beberapa sumber cahaya dalam gambar tetapi pengguna boleh mengubahnya mengikut keperluan peribadi. Dengan ini gambar asal boleh dibaiki jika kekurangan sumber cahaya atau pengguna ingin mengubah warna. Terdapat beberapa pratetapan disediakan dalam Relight tetapi pengguna boleh mengubah pelbagai perimeter secara manual jika dirasakan perlu.

Seterusnya dalam Paint pula elemen dalam imej yang dihasilkan boleh dipilih secara berasingan secara automatik. Kemudian menggunakan AI generatif, ia boleh diubah berdasarkan prom yang diberikan oleh pengguna. Menurut Microsft kesemua ini dilakukan pada peranti menggunakan NPU tanpa data diproses di awanan. Dalam kemas kini akan datang, Paint juga boleh menjana pelekat berdasarkan emoji dengan ia kemudiannya boleh digunakan dalam perisian lain.

Akhir sekali alat Snipping tangkapan layar ditambahbaik dengan ia kini boleh mengagak elemen yang ingin diambil oleh pengguna. Ini akan menjimatkan masa untuk gambar disunting semula. Seperti Paint, ciri AI untuk tangkapan layar juga dijalankan terus daripada peranti menggunakan NPU.