OnePlus 13s dilihat mencuri perhatian ramai melalui video promosi baharu yang dikongsikan. Meskipun tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan tetapi video tersebut memberikan gambaran jelas mengenai reka bentuk dan pilihan warna peranti itu.

Peranti ini dijangka menjadi versi penjenamaan semula bagi OnePlus 13T yang dilancarkan di China pada April lalu. Ia akan hadir dengan paparan 6.32-inci dan cip Snapdragon 8 Elite sekali gus menjadikan ia pilihan berkuasa untuk segmen peranti kompak. Video dikongsi turut memperlihatkan peranti ini hadir dalam warna merah jambu dan hitam, tetapi nama rasmi bagi warna ini masih belum diketahui.

Dari segi reka bentuk, peranti ini menampilkan rekaan kompak dengan skrin berlubang di hadapan serta bonggol kamera berkembar di bahagian belakang. Selain itu, ia dijangka mempunyai butang Shortcut Key yang menggantikan Alert Slider yang biasa digunakan pada peranti OnePlus sebelum ini.