Fenomena fon telinga nirwayar dengan rekaan menyerupai subang nampaknya diteruskan oleh Oppo. Jenama ini telah mula berkongsi mengenai kehadiran Enco Clip, yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi. Ia merupakan fon telinga nirwayar dengan rekaan seakan Huawei Free Clip yang membolehkan pengguna meletakkannya di telinga seperti memakai sepasang subang.

Rekaan pod pengecasnya pula diberikan sentuhan unik, dengan lekukan pada bahagian sisi bagi tujuan memudahkan pegangan. Selain itu, penutup pod pengecas hadir dengan kemasan berwarna perak, yang dipercayai untuk meningkatkan ketahanan dan memastikan ia boleh ditutup dengan sebaiknya.

Fon telinga ini juga dikatakan ringan, mampu menawarkan bunyi yang jelas serta ketahanan sehingga 9.5 jam penggunaan dengan sekali cas. Selain itu, ia turut menyokong empat jenis penalaan bunyi termasuk bunyi asal, analisis definisi tinggi, vokal asli dan bass yang tinggi. Enco Clip turut akan dilengkapi dengan beberapa ciri tambahan seperti kawalan kamera jarak jauh, ringkasan panggilan berasaskan AI, serta kesan bunyi spatial.