Bill Gates Akan Menyedekahkan Keseluruhan Harta Bernilai $200 Bilion
Effi Saharudin
Bill Gates ialah bilionwan dan juga pengasas Microsoft yang pernah suatu ketika adalah manusia terkaya dunia. Dengan harta duniawi yang tidak akan habis jika dibelanjakan sekalipun, Gates Foundation ditubuhkan sebagai badan amal jariah bagi membantu insan memerlukan. Semalam Bill Gates mengumumkan beliau akan menyedekahkan keseluruhan harta bernilai $200 bilion (~RM 862 bilion) yang dimiliki ke Gates Foundation.

Sejak Gates Foundation ditubuhkan, lebih $100 bilion telah disedekahkan dalam tempoh 25 tahun. Bill Gates akan menggandakannya dengan $200 bilion akan disedekahkan dalam tempoh 20 tahun. Beliau turut mengumumkan pada 31 Disember 2045, Gates Foundation kemudiannya akan ditutup. Sekiranya panjang umur, Bill Gates akan berusia 90 tahun pada tahun tersebut.
Inspirasi untuk menyedekahkan kesemua harta yang dimiliki diterima selepas membaca esei 1889 oleh Andrew Carnegie yang dipanggil The Gospel of Wealth. Dalam esei tersebut orang kaya mempunyai tanggungjawab untuk mengembalikan sumber kepada masyarakat, idea radikal pada masa itu yang meletakkan asas untuk kedermawanan seperti yang kita ketahui hari ini. Carnegie juga berkata “lelaki yang mati kaya itu mati dengan hina.”
Sejak ditubuhkan Gates Foundation memberikan dana untuk mencari vaksin malaria, rawatan batuk kering, membina tandas untuk golongan miskin, penyelidikan pertanian, mengawal penyebaran HIV/AIDS dan banyak lagi.