Samsung Menghasilkan Tandas Yang Membakar Najis Dengan Bantuan Bill Gates

Diterbitkan pada Sep 2, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selepas bersara dari Microsoft, Bill Gates menggunakan status beliau sebagai antara insan terkaya dunia untuk menyelesaikan isu seperti vaksinasi, mencari rawatan kepada penyakit dan membangunkan tandas yang mesra pengguna di dunia ketiga. Ramai tidak menyedari bahawa akses kepada tandas dilihat sebagai kemewahan di negara seperti India dan Indonesia.

Sejak beberapa tahun yang lalu, Samsung Advanced Institute of Technology (SAIT) dan Bill & Melinda Gates Foundation telah melakukan kerjasama untuk membangunkan tandas yang lebih mesra alam. Hasilkan minggu lalu Samsung memperlihatkan prototaip tandas yang menghapuskan najis pepejal dengan membakarnya dan mengitar semula air daripada air kencing.

Najis pepejal akan dikeringkan sehingga terhidrasi sebelum ia dibakar oleh sistem tertutup. Saki baki debu yang hasil pembakaran kemudiannya dengan selamat boleh dibuang tanpa ia mencemari sumber air atau menjadi vektor kepada penyakit. Sistem pembersihan biologikal akan digunakan pula bagi membolehkan air kencing yang diproses digunakan semula.

Dengan kejayaan prototaip, Samsung ingin mengeluarkan tandas mesra alam ini tanpa bayaran royalti di negara dunia ketiga dengan bantuan syarikat lain. Ini diharap akan mengurangkan isu lebih 3.6 bilion penduduk bumi yang terpaksa menggunakan sistem sanitasi kurang bersih sehingga mengakibatkan setengah juta kanak-kanak bawah 5 tahun meninggal dunia akibat cirit birit.

komen


© Amanz / 2022 Kami