Carian
Mangsa Bunuh Hidup Semula Bagi Memberi Keterangan Di Mahkamah Dengan Bantuan AI
May 10, 2025 • Effi Saharudin

Christopher Pelkey dibunuh oleh Gabriel Paul Horcasitas pada tahun 2021 dalam satu insiden buli jalan raya. Horcasitas didapati bersalah dan sebelum hukuman dijatuhkan oleh hakim, mendiang Christopher Pelkey memberikan keterangan impak tindakan Horcasitas di mahkamah menggunakan avatar mendiang yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan(AI).

Kakak kepada Pelkey, Stacey Wales mengambil masa dua tahun untuk menjana video beliau memberikan keterangan dengan bantuan suami. Wales yang bekerja dalam industri teknologi mengatakan biasanya video AI digunakan beliau untuk menghasilkan video ucapan CEO yang tidak dapat hadir ke majlis syarikat. Gambar dan video Pelkey semasa masih hidup digunakan untuk menghasilkan video keterangan di mahkamah.

Ini adalah kali pertama video mangsa yang telah mati memberikan keterangan digunakan dalam kes mahkamah di Amerika Syarikat. Selepas keterangan diberikan, hakim menjatuhkan hukuman penjara 10.5 tahun ke atas Gabriel Paul Horcasitas.

Orang yang mati dihidupkan semula menggunakan teknologi bukanlah inovasi baharu. Mendiang Tupac Shakur dan Ronnie James Dio dihupkan semula sebagai hologram untuk melakukan persembahan. Pada tahun 2022 pula, Marina Smith seorang wanita di UK berbicara dengan hadirin acara pengebumian beliau. Chatbot yang dijana AI menjawab soalan berdasarkan maklumat yang diberikan Smith sebelum meninggal dunia.

Komen