Malaysia Tidak Lagi Dikenakan Halangan Akses Cip AI Oleh Amerika Syarikat
Effi Saharudin
Peraturan Penyebaran Kecerdasan Buatan (The Artificial Intelligence Diffusion Rule) ialah antara arahan akhir Presiden Biden yang dikeluarkan Januari lalu. Menerusinya halangan akses kepada cip kecerdasan buatan (AI) dikenakan ke atas negara-negara dunia. Malaysia jatuh ke kategori dua dengan jumlah cip AI yang boleh dibeli dihadkan. Pagi ini Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat mengesahkan Peraturan Penyebaran Kecerdasan Buatan telahpun dibatalkan secara rasmi oleh pentadbiran Presiden Trump.

Selepas ini jumlah cip AI yang menggunakan teknologi Amerika Syarikat adalah bergantung kepada perbincangan antara kedua-dua negara. Pengumuman pagi ini adalah serentak dengan berita Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan dibenarkan membeli 500,000 cip AI bagi keperluan pusat data AI mereka.
Ia juga tiba selepas Arab Saudi mengumumkan syarikat AI tempatan Humain AI akan menggunakan cip AI keluaran NVIDIA, AMD dan Groq pada pusat data milik mereka yang bernilai puluhan bilion. Dalam fasa pertama, Humain akan membeli 18,000 cip AI GB300 Grace Blackwell menunjukkan Arab Saudi serius dalam usaha menjadi kuasa besar AI dunia dan bukan sekadar jaguh padang pasir.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.