YouTube Menggunakan Gemini Untuk Meletakkan Iklan Di Waktu Paling Tepat
Effi Saharudin
Jika anda tidak melanggan kepada YouTube Premium, waktu iklan akan muncul kerap kali mengganggu pengalaman tontonan. Secara lazimnya ia muncul sehingga menyebabkan babak yang sedang seronok ditonton terhenti seketika amat “potong stim”. Di acara YouTube Brandcast untuk pengiklan semalam, YouTube mengumumkan mereka akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) Gemini untuk meletakkan iklan di tempat paling tepat.

Ciri yang diberi nama Peak Points menggunakan Gemini akan mencari lokasi video paling banyak mendapat perhatian penonton, selepas babak tersebut iklan akan diselitkan dengan ia tidak akan memotong babak yang sedang asyik di tonton dan pada waktu yang sama memastikan iklan yang dipaparkan selepas itu akan menerima tontonan tertinggi.
Bilakah ciri ini akan diaktifkan tidak pula dikongsi oleh YouTube menerusi blog rasmi mereka. Ini ialah inovasi yang pastinya menggunakan data daripada ciri Most Replayed yang diperkenalkan pada tahun 2022.