Sukan Olimpik Los Angeles Ingin Menawarkan Perkhidmatan Teksi Terbang
Effi Saharudin
Sukan Olimpik 2024 di Paris sepatutnya menjadi Olimpik pertama menawarkan perkhidmatan teksi terbang. Tetapi isu dengan pengurusan bandaraya Paris dan mendapatkan lesen operasi membuatkan harapan Volocopter hancur musnah. Kegagalan Volocopter memberikan ruang kepada Archer Aviation menjadi yang pertama menawarkan teksi terbang di Sukan Olimpik Los Angeles 20278.

Archer Aviation ingin menggunakan teksi terbang Midnight mereka untuk membawa VIP, peminat dan juga atlet ke venue ketika acara berlangsung tiga tahun daripada sekarang. Mereka juga ingin membuka beberapa lapangan teksi terbang di lokasi strategik di sekitar Los Angeles.

Teksi terbang Archer Aviation Midnight boleh membawa seorang juruterbang dan empat orang penumpang. Ia menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan setiap teksi dilengkapi 12 kipas yang boleh berputar ke atas membolehkan Midnight terbang dan mendarat secara menegak seperti helikopter. Apabila mencapai ketinggian yang diinginkan, kipas akan kembali ke depan membolehkan penerbangan seperti kapal terbang biasa dengan kelajuan mencecah 241 km/j.