Maxim Mengatakan Operasi Berjalan Seperti Biasa dan Perbincangan Diteruskan Dengan Pihak Berkuasa
Amy Maizuraa
Berhubung dengan isu penamatan perkhidmatan baru-baru ini, Maxim telah mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai respons. Menurut kenyataan media yang dikongsikan, perbincangan masih berlangsung antara pihak berkuasa yang berkaitan bagi menyelesaikan perkara ini dengan segera. Dalam masa yang sama, syarikat itu menjelaskan bahawa mereka akan terus beroperasi di Malaysia seperti biasa.

Maxim menyatakan bahawa mereka bekerjasama dengan pengguna, rakan kongsi, vendor dan pihak berkepentingan lain bagi memberi penjelasan mengenai situasi semasa. Syarikat itu turut menekankan bahawa keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan, dan semua perkhidmatannya direka bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna.
Dalam kenyataan tersebut, Maxim menjelaskan bahawa mereka beroperasi di bawah lesen perantaraan dan berfungsi sebagai platform yang menghubungkan pemandu rakan kongsi, penyedia perkhidmatan dan pengguna.
Semua pemandu rakan kongsi turut melalui pemeriksaan lengkap oleh pegawai yang bertanggungjawab. Pemeriksaan ini bertujuan memastikan mereka mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan.
Selain itu, Maxim turut menegaskan bahawa teknologi mereka menyokong pengguna Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mewujudkan perkhidmatan yang boleh digunakan oleh semua. Syarikat tersebut turut bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyelesaikan sebarang isu yang berlaku.