Microsoft Berkata Tiada Bukti Teknologi Mereka Digunakan Israel Untuk Menyerang Gaza
Effi Saharudin
Microsoft hari ini menerbitkan kenyataan mengatakan mereka tidak menemukan sebarang bukti teknologi Azure dan kecerdasan buatan (AI) digunakan oleh Israel untuk mencederakan warga Gaza. Kenyataan dikeluarkan selepas Microsoft dikecam kerana mempunyai kontrak menawarkan perkhidmatan awanan mereka kepada Israel yang bernilai $133 juta.
Siasatan dilakukan Microsoft dengan melakukan temubual dengan kakitangan dan semakan dokumen berkaitan. Sungguhpun begitu firma luaran manakah yang dilantik untuk melakukan siasatan tidak pula dikongsi oleh Microsoft.

Microsoft menerima tumpuan selepas laporan AP mendapati Israel meningkatkan penggunaan perkhidmatan Azure dan AI Microsoft selepas diserang Hamas pada 7 Oktober 2023. Dalam laporan yang sama penggunaan didapati meningkat hampir 200 kali ganda daripada kebiasaan sehingga mengambil ruang storan 13.6 petabyte.
Bukanlah rahsia Israel menggunakan kecerdasan buatan untuk memantau pergerakan dan komunikasi warga Palestin menggunakan alasan “menjaga keselamatan”. Tiada kecaman daripada negara Barat apabila ia dilakukan oleh Israel sedangkan China dituduh melanggar hak asasi manusia kerana melakukan perkara yang sama.
Sejumlah kakitangan Microsoft telah dipecat kerana melakukan bantahan secara terbuka teknologi Microsoft digunakan Israel untuk melakukan genosid di Gaza. Selain Microsoft, Google juga memecat puluhan kakitangan yang menentang penggunaan teknologi Project Nimbus oleh Israel tahun lalu.