Carian
AI Generatif Google Veo 3 Boleh Menjana Video Dengan Audio Berpadanan
May 21, 2025 Effi Saharudin

Kecerdasan buatan (AI) generatif sudah wujud sejak tiga tahun lalu. Pada awalnya hasil janaan nampak canggung dan boleh diteka bukan video asli. Teknologi semakin berkembang dan video dijana semakin realistik tetapi mempunyai kekurangan kerana tiada audio dijana sekali. Di Google I/O, model AI generatif baharu Veo 3 diumumkan dengan kemampuan untuk menjana video dengan audio yang berpadanan.

Dalam demo yang dipertontonkan, audio yang serasi dengan video dijana berjaya dihasilkan. Kerana kemampuannya yang cukup baik ini, Veo 3 ialah model yang boleh diakses pelanggan Google Flow untuk menjana filem pendek bermula hari ini.

Pada ketika ini Veo 3 hanya boleh diakses pelanggan Google AI Ultra sahaja dengan bayaran RM1229.90 sebulan. Beberapa hasil janaan yang telah dikongsi di media sosial nampak realistik tetapi belum cukup sempurna.

Veo 3 bukan satu-satunya model AI generatif yang boleh menjana video dengan audio bertepatan. Oktober tahun lalu Meta Movie Gen turut diperlihatkan dengan kemampuan yang sama tetapi sehingga kini belum ditawarkan sebagai produk komersil oleh Meta.

Komen