Sony FX2 Dilancarkan – Kamera Perfileman Bersaiz Kompak
Amy Maizuraa
Sony telah melancarkan FX2 iaitu sebuah kamera perfileman bingkai penuh yang direka khas untuk jurugambar hibrid yang mengutamakan rakaman video tetapi masih mampu merakam imej pegun beresolusi tinggi.

Reka bentuknya hampir sama dengan Sony FX30 dan FX3 namun dikatakan sedikit lebih tebal. Susun atur butang, kekunci, dan kawalan masih dikekalkan seperti model sebelumnya. Namun, kini ia dilengkapi dengan antaramuka lebih mudah digunakan yang diinspirasikan daripada kamera Sony Venice.

FX2 dilengkapi dengan sensor bingkai penuh 33MP, pemproses dwi Bionz, dan cip AI Sony untuk pengecaman serta penjejakan subjek automatik. Sensor ini menawarkan julat dinamik lebih daripada 15 hentian dan menyokong rakaman video 4K30p 4:2:2 10-bit dalam mod bingkai penuh. Namun, rakaman 4K60P hanya boleh dilakukan dalam mod Super 35 yang dipangkas. Kamera ini turut boleh merakam pada 120FPS dalam resolusi FHD untuk menghasilkan rakaman gerak perlahan 5X.

Kamera ini dilengkapi dengan ISO 800/4000 dalam Sony S-Log dan menyokong output RAW 16-bit melalui HDMI. juga menyokong profil warna S-Cinetone, yang diinspirasikan daripada kamera sinema Sony Venice serta pelbagai Picture Profiles dan Creative Looks.

FX2 turut menyokong sehingga 16 LUT yang dihasilkan pengguna untuk pratonton atau digunakan dalam hasil akhir. Selain itu, ia menyokong kanta anamorfik dengan mekanisme pemprosesan terbina bagi kanta 1.3x dan 2.0x bagi memberikan lebih banyak pilihan dalam rakaman visual.
Kamera ini mampu merakam sehingga 13 jam tanpa henti dengan kipas terbina selagi ia disambungkan kepada sumber kuasa dan menggunakan kad atau SSD yang mencukupi. Selain itu, FX2 menyokong pemegang XLR Sony untuk mikrofon profesional dan boleh dipasang dengan pelbagai aksesori tanpa memerlukan kerangka tambahan.
[sumber] Sony FX2 [/sumber]