Rekod Suhu Tertinggi Bumi Yang Dicatatkan Tahun 2024 Akan Dipintas Dalam Tempoh Lima Tahun
Effi Saharudin
Tahun 2024 sudahpun disahkan sebagai tahun paling panas pernah direkodkan sejak data mula diambil menurut laporan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah. Purata suhu dunia pada tahun lalu adalah 15.1 °C dan adalah kali pertama ia 1.5°C lebih panas berbanding suhu pra-perindustrian (1850-1900)
Minggu ini Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pula menerbitkan laporan mengatakan terdapat kebarangkalian 80% suhu tahun lalu akan dipintas dalam masa lima tahun lagi. Terdapat juga kebarangkalian lebih tinggi 86% ia akan melebihi 1.5°C suhu purata antara tahun 1850-1900. Lebih merisaukan mereka turut meramalkan peningkatan suhu di kawasan Artik adalah lebih tinggi berbanding purata global.

Tahun lalu suhu purata tertinggi dicatatkan setiap bulan mendedahkan situasi perubahan iklim yang semakin serius. Antara fenomena aneh tahun lalu ialah puncak Gunung Fuji tidak bersalji sepanjang Oktober seperti kebiasaannya.
Perubahan iklim telahpun menyebabkan kemusnahan habitat serta ancaman kepupusan terhadap flora dan fauna bumi. Data daripada Copernicus menunjukkan sasaran Perjanjian Iklim Paris 2015 yang ingin menghadkan peningkatan suhu 1.5 ºC mungkin sudahpun gagal. Pandemik enam tahun lalu memperlahankan peningkatan suhu global tetapi ia sekadar sementara sahaja.
Laporan WMO tahun ini dihasilkan degan bantuan 220 ahli serta model iklim uangh disumbangkan oleh Pusat Pengeluaran Global: Pusat Komputer Besar Barcelona, Pusat Pemodelan dan Analisis Iklim Kanada, Deutscher Wetter Dienst, dan Met Office UK.