Konsol Anbernic RG Slide Membuatkan Saya Merindui Xperia Play
Effi Saharudin
Pusingkan masa selama 15 tahun dan anda akan dapat melihat pada waktu itu setiap pengeluar telefon mempunyai identiti tersendiri. Nokia dengan peranti minimalis tetapi tahan lasak meredah apokalips dan Sony pula menggabungkan audio mantap Walkman dengan teknologi PlayStation. Era ini sudah berakhir digantikan dengan klon-klon iPhone.

Dalam dunia konsol mudah alih, ia berbeza kerana rekaan retro dipilih kerana ia serasi dengan permainan retro yang boleh dimainkan. Anbernic RG Slide ialah konsol mudah alih baharu yang membuatkan saya terasa nostalgia dengan Sony Xperia Play dan Nokia E7 yang pernah dimiliki dahulu.

Konsol ini mempunyai bahagian atas yang melungsur ke sisi untuk mendedahkan dua butang analog, butang muka dan butang empat arah. Empat butang bahu pula diletakkan pada bahagian atas. Apabila ditutup, permainan seperti Subway Surfer masih boleh dimainkan pada skrin kerana ia menyokong sentuhan.
Ia dilengkapi skrin 4.7″ TPS IPS dengan kadar segar semula 120Hz dengan ia menggunakan sistem operasi Android. Tiada maklumat mengenai cip pemproses, RAM, storan dan bateri dikongsi. Yang disahkan sekadar RG Slide boleh menjalankan permainan Android, PlayStation, PlayStation 2, N64, Wii, GameCube, dan Dreamcast sehingga resolusi 640 x 480 pixel. Harga jualan dan bila ia akan dilancarkan belum diumumkan.