Visual Intelligence Kini Boleh Mengenalpasti Paparan Skrin Seperti Circle to Search
Effi Saharudin
Circle to Search saya nobatkan tahun lalu sebagai teknologi terbaik 2024. Ia mungkin tidak gah dan jarang sekali diberikan tumpuan oleh Google tetapi ia aplikasi yang digunakan berpuluh kali sehari untuk mengenalpasti objek, sumber berita dan memastikan kesahihan gambar. Di WWDC pagi ini, Visual Intelligence telah dipertingkat bagi memberikan ciri yang seakan Circle to Search.

Dengan menekan butang tangkapan skrin, Apple Intelligence boleh diarahkan mengenalpasti objek di dalam gambar. Jenama kasut atau peralatan elektronik misalnya boleh dicari dengan bantuan Google serta ChatGPT. Kemudian di mana ia boleh dibeli turut boleh dilakukan oleh Visual Intelligence.

Teks dalam gambar juga boleh dikenalpasti dan maklumat yang terpapar boleh dimasukkan terus ke kalender lengkap dengan tarikh, lokasi dan waktu. Sebelum ini Visual Intelligence hanya boleh mengenalpasti objek yang dilihat menggunakan kamera. Dengan pengenalan ini, Visual Intelligence menjadi lebih berguna dan memberikan persaingan kepada Circle to Search.