Wikipedia Tangguh Ciri Ringkasan AI Selepas Dikritik Editor
Effi Saharudin
Wikimedia Foundation menangguhkan ujian memaparkan ringkasan di atas artikel menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang diumumkan pada 2 Jun lalu selepas menerima kritikan editor menurut laporan 404 Media. Ciri ini sepatutnya diuji selama dua minggu dengan ia hanya dipaparkan pada versi mudah alih.
Komuniti editor Wikipedia menolak pengenalan ciri ini kerana ia mendatangkan mudarat ke atas reputasi laman sebagai sumber yang boleh dipercayai. Seperti Google AI Overviews, ciri yang diuji Wikipedia akan meringkaskan artikel panjang di laman menjadi perenggan pendek yang lebih mudah difahami.

Dengan Google dilanda kontroversi disebabkan ringkasan AI Overviews yang tidak tepat, editor Wikipedia merasakan perkara yang sama boleh berlaku menyebabkan pembaca menerima maklumat yang salah. Editor turut menyatakan memang kandungan Wikipedia panjang dan membosankan untuk dibaca tetapi ini bukanlah sesuatu yang perlu dianggap negatif khususnya untuk maklumat yang kompleks.
Walaupun ujian ringkasan AI telah dihentikan oleh Wikimedia, mereka masih berminat untuk terus menggunakannya bagi menjadikan kandungan laman lebih mudah diakses oleh pembaca di seluruh dunia. Wikimedia Foundation menggunakan model Aya oleh Cohere bagi melakukan ringkasan dan sebelum ini bersetuju melesenkan kandungan bagi tujuan latihan AI serta menggunakan AI bagi mengalihkan bahasa artikel Bahasa Inggeris ke bahasa-bahasa lain.