Siri Dengan AI Dilaporkan Akan Dilancarkan Awal 2026
Effi Saharudin
Siri dengan Apple Intelligence diperlihatkan di WWDC tahun lalu dengan ciri seperti mengingati kandungan emel, boleh memberikan saranan, mengingati nama individu dalam gambar serta dengan memahami konteks persoalan dengan lebih baik. Selepas setahun berlalu, ciri ini masih belum menjadi realiti sehingga iklan mengenainya telah dipadam oleh Apple.

Menurut laporan terkini Bloomberg, Siri dengan Apple Intelligence ini akan dilancarkan sekitar Mac 2026 menerusi kemas kini iOS 26.4. Proses mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) ke dalam Siri menghadapi pelbagai isu teknikal dengan Craig Federighi berkata ia berkaitan dengan kualiti pengalaman penggunaan yang tidak melepasi piawaian.
Dalam temuramah dengan WSJ, Federighi mengatakan demo Siri di WWDC tahun lalu wujud dan berfungsi cuma selepas versi seterusnya dibangunkan, ia tidak berfungsi di tahap yang diharapkan. Beliau menafikan laporan mengatakan demo Siri tahun lalu adalah dipalsukan dan sekadar aplikasi wasap.
Apple pada waktu ini ketinggalan berbanding Google yang bukan sahaja menawarkan Gemini yang berfungsi seperti diiklankan di Google I/O tahun lalu tetapi memperkenalkan pelbagai lagi ciri baharu di I/O tahun ini yang sangat menakjubkan.