Meta Melabur $14.3 Bilion Ke Dalam Scale AI
Effi Saharudin
Beberapa hari lalu kami melaporkan Meta telah membayar $15 bilion untuk mengambil alih 49% pegangan dalam Scale AI. Syarikat yang ditubuhkan 9 tahun yang lalu me bertanggungjawab menawarkan data yang dilabel bagi memudahkan model kecerdasan buatan (AI) dilatih dengan lebih baik. Hari ini Meta akhirnya mengesahkan mereka telah melaburkan $14.3 bilion (~RM 60.4 bilion) ke dalam Scale AI untuk memegang 49% saham syarikat menurut Bloomberg.
CEO Scale AI, Alexandr Wang berpindah ke Meta dan mengetuai pasukan Superintelligence yang telah ditubuhkan sendiri oleh Mark Zuckerberg. Ini adalah bagi memastikan Meta akan menjadi syarikat pertama menawarkan kecerdasan buatan am (AGI) sekaligus menguasai dunia AI yang semakin kompetitif sejak tiga tahun kebelakangan ini. Ketua Pegawai Strategi Scale AI, Jason Droeg kini dinaikkan pangkat menjadi CEO menggantikan Wang menurut laporan CNBC.

Isu melibatkan model AI Behemoth yang tidak mencapai sasaran yang ditetapkan Meta tahun ini menjadi pemangkin pembelian Scale AI oleh Meta. Seperti yang dilakukan oleh Meta sebelum ini, amalan pengambilalihan produk syarikat lain yang lebih baik seperti WhatsApp dan Instagram diteruskan oleh Zuckerberg.
Walaupun syarikat kini menggunakan nama Meta, sudah lama dunia metamesta tidak keluar daripada bibir Zuckerberg. Sebaliknya tumpuan syarikat kini tertumpu kepada AI dan cermin mata pintar yang dikuasakan oleh AI. Malahan menerusi kerjasama dengan Anduril minggu lalu, mereka kini juga memasuki arena teknologi ketenteraan.
Sepanjang 2023, Scale AI menjana pendapatan $800 juta dan disangka menjana $2 bilion pula tahun ini. Jelas cepu emas di hujung pelangi seterusnya ialah AGI dan Zuckerberg enggan melepaskan peluang ini walaupun sebelum ini Facebook dibiarkan kelaparan kerana menyusukan Meta Horizon Worlds sehingga kerugian puluhan bilion.