Semalam Meta Superintelligence Labs (MSL) diumumkan secara rasmi oleh Meta dengan ia akan menjadi “otak” kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI) masa depan syarikat milik Mark Zuckerberg. Hari ini Wired melaporkan Zuckerberg menawarkan sehingga $300 juta (~RM 1.26 bilion) kepada penyelidik AI terbaik dunia untuk berpindah ke Meta.
Lebih 10 individu dipercayai menerima tawaran keemasan ini dengan $300 juta ialah habuan yang diberikan dalam tempoh 4 tahun tetapi $100 juta akan diterima dalam tahun pertama. Ini adalah selari dengan kenyataan diberikan Sam Altman yang mengatakan kakitangan OpenAI dipancing dengan imbuhan ratusan juta untuk berpindah ke Meta.

Antara penyelidik AI di OpenAI yang berpindah ialah Shengjia Zhao yang merupakan pencipta bersama ChatGPT. Turut berjaya dipancing daripada OpenAI ialah pencipta model o3/o4-mini, GPT-4o, GPT-4.1, GPT-4.5, 4o-imagegen, GPT-4o voice mode dan o4-mini. Sejak dari dahulu lagi Zuckerberg menggunakan habuan besar dan pembelian untuk merapatkan jurang dengan pesaing mereka.
Turut dilaporkan oleh Wired, Sam Altman mengeluarkan memo kepada kakitangan OpenAI mengatakan “mubaligh akan mengalahkan askar upahan” dalam persaingan AI. OpenAI kini dalam proses mengubah struktur ganjaran diterima kakitangan bagi mengelakkan mereka berpindah ke syarikat lain.