WhatsApp Mula Menguji Ciri Penjanaan Gambar Latar Perbualan Menggunakan Meta AI Di Peranti iOS
Amy Maizuraa
Selepas mengujinya terlebih dahulu pada peranti Android, WhatsApp kini mula menguji ciri penjanaan gambar latar perbualan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk pengguna iOS.
Ciri baharu ini membolehkan pengguna menghasilkan latar belakang perbualan menggunakan teknologi Meta AI. Melalui arahan teks yang ringkas atau kreatif (prompt), sistem akan menganalisis input tersebut dan menjana pelbagai rekaan visual yang sesuai sebagai gambar latar.

Melalui ciri ini, pengguna ditawarkan sehingga lima pilihan rekaan visual yang dijana secara automatik. Ciri suntingan tambahan turut disediakan bagi membolehkan pengguna melaraskan warna, elemen grafik dan komposisi imej melalui fungsi penuras terbina.
Gambar latar yang dihasilkan boleh digunakan untuk semua jenis perbualan sama ada individu mahupun berkumpulan serta boleh ditetapkan khusus mengikut perbualan pilihan. Buat masa ini, ciri tersebut sedang diuji dalam kalangan pengguna beta dan dijangka ditawarkan secara meluas kepada pengguna iOS dalam beberapa minggu akan datang.
[sumber] wabetainfo [/sumber]