Samsung Galaxy Z Fold7 Tidak Menyokong S Pen
Effi Saharudin
Samsung Galaxy Z Fold7 dilancarkan hari ini dan ia membawakan inovasi pada rekaan tubuh yang semakin nipis dan kamera yang dipertingkatkan. Tetapi satu ciri yang disokong sejak Z Fold3 iaitu sokongan stylus S Pen tidak lagi diberikan. Ini menguburkan harapan pengguna yang telah lama memintas Samsung menyertakan S Pen secara terbina pada siri Z Fold.

Sokongan S Pen dihentikan kerana ia tidak begitu digunakan oleh pemilik siri Fold sejak diperkenalkan. Ini tidak dibantu oleh keperluan untuk ia dibeli secara berasingan dan S Pen khas untuk Fold sahaja boleh digunakan pada skrin dalam boleh dilipat.
Dengan ciri S Pen dihentikan pada siri Z Fold, ia memberikan petanda buruk selepas ini ia mungkin juga tidak disokong pada siri Galaxy S Ultra. Pada S25 Ultra tahun ini, muncul rungutan kerana S Pen tidak menyokong ciri kawalan bluetooth. Kepada peminat siri Galaxy S Ultra, adalah sekarang tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada S Pen atau ia perlu dikekalkan supaya peranti kekal Ultra?