Samsung Galaxy Z Fold3 5G ialah peranti skrin boleh-lipat pertama yang menyokong stylus. Ini sedikit sebanyak mengurangkan kekecewaan tiada siri Note tahun ini. Tetapi sekiranya anda pengguna Note yang ingin menggunakan stylus lama pada Z Fold3 5G, kami ada berita buruk untuk anda.

S Pen lama yang mungkin anda miliki tidak boleh digunakan pada Z Fold3. Apabila ia mengesan S Pen lama, amaran akan diberikan pada skrin supaya hanya S Pen Fold Edition dan S Pen Pro sahaja digunakan. Jika pengguna masih ingin menggunakan S Pen lama, ia langsung tidak dikesan oleh skrin Z Fold3. Ini adalah bagi mengelakkan skrin dirosakkan oleh mata pena dan tekanan ketika melakar.
S Pen Fold Edition dan S Pen Pro hadir dengan mata pena yang mempunyai lapisan getah dan sistem penyerap tekanan terbina. Sebagai pemilik beberapa S Pen edisi khas- seperti S Pen Staedler dan LAMY – keputusan Samsung tidak membenarkan ia digunakan pada Z Fold3 adalah mengecewakan tetapi kami memahami ia perlu dilakukan bagi mengelakkan skrin mengalami kerosakan serius.