Honor Choice Earbuds Clip Diumumkan Dengan Rekaan Seakan Subang – Berharga RM499
Amy Maizuraa
Honor Choice Earbuds Clip merupakan produk ketiga yang diumumkan pada hari ini. Ia merupakan fon telinga nirwayar jenis terbuka yang berbentuk subang dan menyerupai Huawei FreeClip. Ia direka dengan berat sekitar 5.1g untuk setiap satu sesuai untuk digunakan dalam tempoh lama tanpa terasa berat.

Fon telinga ini dilengkapi dengan pemacu dwi-magnet yang menyokong teknologi Dynamic Enhanced Bass bagi bantu menghasilkan bunyi yang seimbang dalam pelbagai genre muzik. Ia turut menyertakan fungsi pembatalan bunyi panggilan melalui dua mikrofon berbeza dengan satu untuk menangkap bunyi persekitaran dan satu lagi untuk suara pengguna. Kedua-dua mikrofon disokong oleh algoritma AI Multi-Channel Deep Neural Network (DNN) untuk audio lebih jelas.

Fon telinga ini menyokong tambatan pantas melalui sambungan Bluetooth 5.3. Ia juga boleh disambung kepada dua peranti secara serentak untuk kemudahan penggunaan. Fungsi pembantu suara tersedia dan boleh diaktifkan dengan ketukan dua kali pada fon telinga. Dari segi bateri, fon telinga ini menawarkan masa penggunaan sehingga 36 jam secara keseluruhan. Untuk satu pengecasan penuh, ia boleh digunakan sekitar 7 jam bagi memainkan muzik dengan fon telinga itu sendiri.
Bagi yang berminat, Honor Choice Earbuds Clip dijual pada RM499 di Malaysia.