Intel Mungkin Memperkenalkan Pesaing Cip AMD Strix Halo Dengan Nova Lake-AX
Nazrin
Pada awal tahun ini, AMD telah memperkenalkan cip APU AMD Ryzen AI Max+ 395 “Strix Halo” mereka yang digunakan dalam komputer riba berkuasa tinggi seperti ASUS ROG Flow Z13, yang tampil dengan gabungan CPU dan juga GPU berkuasa.
Terkini, melalui beberapa dokumen yang telah tertiris ke arena web yang memperlihatkan sejumlah projek-projek Intel baru selepas pelancaran Nova Lake-S pada penghujung tahun 2026, Intel nampaknya akan memperlihatkan juga sebuah pesaing baru untuk siri cip tersebut dengan Nova Lake-AX.

Ini bermakna bahawa pada tahun 2027, Intel dijangka akan memperkenalkan penawaran APU yang menggabungkan komponen CPU dan juga GPU dalam satu pakej, beserta dengan penawaran sokongan untuk jumlah memori yang sangat besar. sama sepertii Ryzen AI Max+ 395 yang boleh menyokong sehingga 128GB memori LPDDR5.
Jangkaannya ialah cip pemprosesan Nova Lake-AX ini akan menggabungkan cip pemprosesan Nova Lake dengan cip grafik Celestial (Intel Xe3) bersaiz penuh, yang boleh dipadankan dengan jumlah memori yang sangat banyak, dan akan tampil dengan kuasa pemprosesan perkomputeran dan GPU yang boleh menandingi apa yang ditawarkan oleh AMD sekarang.

Walaupun begitu, AMD dijangka akan memperkenalkan pengganti kepada Strix Halo, iaitu Medusa Halo pada tahun 2027, jadi Intel akan perlu bertanding dengan produk generasi kedua AMD dalam pasaran kuasa perkomputeran yang semakin sengit.
[sumber]Notebookcheck[/sumber]