Kerajaan UK Akan Menggunakan Teknologi OpenAI Dalam Sektor Keadilan, Pertahanan, Kesihatan dan Pendidikan
Effi Saharudin
Amerika Syarikat dan China ialah dua kuasa besar dunia dalam teknologi kecerdasan buatan (AI). Oxford University telah menerbitkan laporan 90% pusat-pusat data dunia dipegang oleh syarikat dari Amerika Syarikat dan China. Oleh itu negara lain terkejar-kejar untuk merapatkan jurang. Semalam kerajaan United Kingdom menandatangani perjanjian strategik untuk menggunakan teknologi AI yang dibangunkan OpenAI.

Teknologi OpenAI akan digunakan dalam sektor kesihatan, pendidikan, pertahanan, keselamatan, keadilan dan banyak lagi. Misalnya teknologi AI akan digunakan untuk mencari peluang atau memacu pertumbuhan ekonomi dan di memperbaiki perkhidmatan kesihatan NHS.
Ini dilihat sebagai sebahagian usaha UK yang akan membelanjakan £1 bilion bagi meningkatkan kemampuan perkomputeran awam sebanyak 20 kali ganda dalam tempoh lima tahun. Dapat dilihat tahun ini syarikat AI terkemuka mula menjalinkan kerjasama dengan kerajaan.
Di Amerika Syarikat kontrak sehingga $200 juta diberikan kepada OpenAI, Google, Anthropic dan xAI oleh Jabatan Keadilan untuk menawarkan teknologi mereka bagi kegunaan kerajaan. Di Malaysia, kerjasama antara kerajaan dan Google masih di skala jauh lebih kecil menerusi inisiatif AI At Work 2.0 yang diumumkan awal tahun ini.