Apple Dilaporkan Sedang Bangunkan Penawaran Seumpama ChatGPT
Aman
Apple sedia ketinggalan jauh dalam arena kecerdasan buatan jikalau dibandingkan dengan pesaing terdekat mereka seperti Google dan Microsoft. Fungsi-fungsi yang diumumkan lebih setahun lepas masih tidak berkunjung tiba, selain Siri yang turut dilihat masih belum menerima kemaskini yang dijanjikan.

Melalui perkongsian Bloomberg terbaru, ia memperlihatkan situasi dalaman di Apple, dimana pada awalnya pihak Apple menyasarkan pengguna tidak akan menggunakan ciri chatbot dikuasakan kecerdasan buatan, membuatkan mereka tidak memberikan perhatian ke arena kecerdasan buatan, dan ketinggalan dalam perlumbaan berkenaan. Beberapa pihak dalam Apple juga dikatakan agak skeptikal berkenaan penawaran ciri seumpama ChatGPT pada awalnya.
Selain itu, Apple juga dilihat selesa dengan kerjasama carian bersama Google, yang membawa pendapatan sehingga $20 bilion setahun.
Namun, dengan lebih ramai bergantung kepada kecerdasan buatan kebelakangan ini, Apple dilihat agak ketinggalan dan kini telah mulakan memberi lebih fokus terhadapnya. Tim Cook sendiri baru-baru ini telah mengatakan bersedia mengambil-alih syarikat kecerdasan buatan.
Menurut Bloomberg juga, kini Apple turut menubuhkan sebuah bahagian baharu dinamakan AKI (Answers, Knowledge & Infomration), yang akan memfokuskan pembangunan sejumlah perkhidmatan kecerdasan buatan. Sasaran kumpulan berkenaan adalah dalam menawarkan pengalaman carian seumpama ChatGPT.
Sistem berkenaan dilihat boleh menjawab sejumlah pertanyaan pengguna, termasuk melakukan carian di web untuk tujuan tersebut. Disamping enjin berasaskan kecerdasan buatan ini, Apple juga dikatakan sedang membangunkan infrastruktur baharu yang menguasakan Siri.
Ia tidak diketahui berapa lamakah pihak Apple akan mengambil masa dalam pembangunan berkenaan, dan bagaimana mereka ingin terus berlumba dalam arena kecerdasan buatan yang bergerak pantas dari hari ke hari.