Vivo Mengacah Kehadiran Rasmi Model V60 Untuk Pasaran Malaysia
Amy Maizuraa
Vivo mula mengacah kehadiran rasmi Vivo V60 untuk pasaran Malaysia lantas menandakan kemunculan generasi baharu dalam siri V yang dijangka menggantikan model V50 yang diumumkan pada Mac lalu. Walaupun tarikh pelancaran rasmi masih belum didedahkan, kemaskini terbaharu daripada Vivo Malaysia mengesahkan bahawa peranti ini akan tiba tidak lama lagi.

Berdasarkan spesifikasi model di India, V60 dijangka hadir dengan cip Snapdragon 7 Gen 4 untuk prestasi kelas pertengahan premium, sistem tri-kamera ZEISS dengan kamera utama 50MP, bateri 6500mAh, kalis air IP68/69 dan FuntouchOS 15 berasaskan Android 15 lengkap dengan integrasi Google Gemini. Peranti akan mengekalkan tubuh melengkung dengan modul kamera bujur dan satu lensa berasingan. Jelas kelihatan, ia meminjam elemen rekaan daripada model X200 FE.

Sekiranya model di Malaysia mengekalkan spesifikasi seperti di India, pengguna boleh menjangkakan pengalaman prestasi dan fotografi yang dipertingkatkan berbanding generasi terdahulu. Namun, segala maklumat rasmi hanya akan diumumkan oleh Vivo Malaysia dan nantikan untuk maklumat lanjut.