GoPro Max 2 Mungkin Dilengkapi Dengan Sistem Kanta Boleh Ganti
Amy Maizuraa
DJI baru sahaja melancarkan kamera aksi terbaharu mereka iaitu Osmo 360. Sebagai respon balas terhadap perkembangan ini, GoPro dilihat mula menyiarkan video promosi baharu yang memberi petunjuk bahawa model Max 2 kan dilancarkan dalam masa terdekat. Model baharu juga dijangka menawarkan kelebihan tersendiri berbanding produk keluaran DJI tersebut.

Pada masa yang sama, beberapa pihak turut mula berkongsi kandungan berkaitan kamera berkenaan termasuk fungsi utama yang bakal ditawarkan. Antara sorotan paling menarik ialah sistem kanta boleh ganti yang membolehkan pengguna menggantikan kanta sekiranya rosak. Dalam video pendek yang dimuatnaik oleh GoPro kelihatan seseorang menukar kanta dengan hanya memutar komponen baharu ke tempat asal tanpa memerlukan alatan tambahan untuk tujuan pemasangan.

Selain itu, GoPro Max 2 diyakini sesuai digunakan bagi aktiviti sukan air selari dengan kebolehan kalis air yang disertakan pada generasi sebelumnya. Ini menjadikan kamera tersebut pilihan ideal bagi pengguna yang gemar melakukan aktiviti seperti luncur air. Walaupun tiada pengumuman rasmi daripada pihak GoPro tetapi petunjuk disediakan seakan memberi bayangan bahawa pengeluarannya sedang dirancang.
[sumber] gopro [/sumber]