Disney Batalkan Penggunaan AI Generatif Dalam Filem Moana dan Tron : Ares Kerana Takut Dikecam
Effi Saharudin
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam produksi siri dan filem tidak dapat dielakkan lagi kerana studio melihat ia sebagai alat yang boleh mengurangkan kos produksi serta lebih pantas berbanding teknik CGI biasa. Terkini, Wall Street Journal melaporkan Disney menghentikan usaha menggunakan AI generatif dalam dua filem mereka kerana takut dikecam.
Teknologi AI generatif yang dibangunkan oleh Metaphysic telah diuji ketika produksi filem aksi nyata Moana. Rancangan asal ialah menampal wajah Dwayne “The Rock” Johnson ke atas wajah sepupu beliau Tanoai Reed bagi mengurangkan waktu beliau di set sekaligus mengurangkan kos produksi memandangkan beliau antara pelakon paling mahal di dunia.

Penggunaan pelakon gantian (body double) dalam produksi bukan perkara baharu tetapi menampal wajah pelakon menggunakan AI generatif belum pernah dilakukan. CGI biasa yang digunakan dalam Fast & Furious 7 untuk menampal wajah mendiang Paul Walker ke tubuh adik menelan belanja $50 juta. Kos yang sangat tinggi kerana keseluruhan filem menelan belanja $250 juta.
Seterusnya watak yang dijana AI generatif turut dirancang untuk filem sains fiksyen Tron : Ares. Watak akan disuarakan pelakon manusia tetapi animasi dilakukan sepenuhnya oleh AI. Rancangan dibatalkan kerana isu melibatkan pelakon suara serta penggunaan AI yang menyebabkan mogok dianjurkan oleh oleh SAG-AFTRA. Pada waktu yang sama publisiti buruk jika Disney menggunakan AI generatif dilihat risiko yang terlalu besar.
Kerisauan Disney adalah berasas kerana selepas menggunakan AI generatif untuk babak tajuk siri Secret Invasion dua tahun lalu, mereka dikecam teruk kerana dilihat sebagai kedekut walaupun mencacatkan keuntungan tinggi menerusi IP Marvel milik mereka.
Netflix sudah menggunakan AI generatif dalam produksi siri Eternauts tanpa sebarang kecaman mungkin kerana ia siri yang diterbitkan di Argentina. Model Runway AI digunakan bagi menjana kesan khas ini. Pada waktu yang sama Amazon melabur ke dalam platform penstriman Showrunner yang kesemua kandungannya dijana AI generatif.